WASHINGTON, 16 Disember – Hujan lebat berterusan menyebabkan benteng Desimone di sepanjang Sungai Green di Tukwila, pecah mencetuskan amaran banjir kilat serta arahan pemindahan penduduk di King County.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif King County, Girmay Zahilay, benteng yang dibina kira-kira lima batu di selatan pusat bandar Seattle itu, telah runtuh sekitar pukul 11.30 pagi waktu tempatan dan telah dihanyutkan arus deras.
Kejadian itu mengakibatkan banjir kilat berlaku kawasan sekitar Olympic Avenue South, berhampiran kawasan perindustrian, namun pihak berkuasa mengesahkan tiada kecederaan dilaporkan.
“Pekerja terpaksa menggunakan jentera berat untuk menjatuhkan beg pasir bersaiz besar ke dalam lubang benteng bagi menghalang kerosakan daripada menjadi lebih teruk. Kerja-kerja pembaikan sedang giat dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Sumber Asli dan Taman King County, John Taylor, berkata kawasan tersebut telah berada di bawah pemantauan rapi sejak beberapa hari lalu dan kerja pembaikan awal telah dijalankan sebelum kejadian runtuhan berlaku.
“Kami bertindak dengan segera dengan sokongan pasukan perkhidmatan jalan raya yang menyediakan bahan dan peralatan. Kerja pembaikan menggunakan beg nilon besar sedang dijalankan dan pemantauan akan diteruskan bagi memastikan keselamatan orang awam,” jelasnya.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat memaklumkan bahawa amaran banjir berkaitan kegagalan benteng itu akan kekal berkuat kuasa sehingga sekurang-kurangnya 9 malam waktu tempatan.
Dalam pada itu, Pengawal Kebangsaan Washington mengesahkan penghantaran anggota ke daerah itu bagi membantu operasi tindak balas banjir.
Pihak berkuasa sebelum ini telah menyuarakan kebimbangan mengenai risiko kegagalan benteng di beberapa kawasan di Washington susulan hujan lebat luar biasa akibat ribut ‘atmospheric river’ yang melanda wilayah barat laut Pasifik.-REUTERS

