SAFI, 15 Disember – Sekurang-kurangnya 37 orang terkorban akibat banjir kilat susulan hujan lebat di wilayah pantai Atlantik Safi, Maghribi, menurut pihak berkuasa pada Isnin.
Dalam kenyataan rasmi, pihak berkuasa memaklumkan 14 mangsa masih menerima rawatan perubatan, termasuk dua dalam keadaan kritikal.
Hujan lebat pada Ahad menyebabkan rumah dan kedai ditenggelami air di bandar pelabuhan Safi, selain menghanyutkan kenderaan dan memutuskan banyak jalan di sekitar bandar itu, kira-kira 300 kilometer ke selatan Rabat.
Sebagai langkah keselamatan, sekolah-sekolah ditutup sementara pada Isnin ketika penduduk menilai kerosakan dan membersihkan kediaman masing-masing.
Rakaman video yang dikongsi media tempatan menunjukkan jalan-jalan dinaiki air, kenderaan tenggelam, serta operasi menyelamat menggunakan bot.
Satu rakaman turut memaparkan seorang wanita diselamatkan selepas terperangkap dalam arus banjir berhampiran pintu gerbang bersejarah di bandar lama Safi.
Pihak berkuasa mengesahkan sekurang-kurangnya 70 rumah dan premis perniagaan terjejas.
Maghribi ketika ini mengalami hujan lebat dan salji di Pergunungan Atlas, selepas tujuh tahun kemarau berpanjangan yang menjejaskan paras empangan utama negara itu. -REUTERS

