Banjir Bolivia: Angka korban meningkat kepada 7 orang

BOLIVIA, 15 Disember – Angka korban akibat banjir berpunca daripada limpahan sungai di wilayah timur Santa Cruz, Bolivia, meningkat kepada tujuh orang.

Menurut Presiden Bolivia, Rodrigo Paz Pereira, pada Ahad, insiden itu turut mengakibatkan sekurang-kurangnya 20 orang dilaporkan hilang manakala ratusan keluarga kehilangan tempat tinggal.

Paz mengkritik pentadbiran terdahulu kerana gagal menyediakan sumber mencukupi kepada negeri itu bagi menghadapi situasi kecemasan.

Pihak berkuasa memberi amaran bahawa hujan lebat dijangka berterusan dalam beberapa hari akan datang, diburukkan lagi oleh kesan gabungan fenomena El Niño dan La Niña, yang menurut Paz menghasilkan jumlah hujan tertinggi dalam tempoh lebih satu abad.

“Kami ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa berdasarkan maklumat daripada institusi meteorologi, dalam beberapa hari akan datang negara akan berdepan hujan yang sangat mencabar.

“Keadaan ini belum berakhir, malah baru bermula. Dengan bantuan dan kerjasama negara lain, telah disahkan bahawa kesan El Niño dan La Niña, dua fenomena iklim ini, sedang menghasilkan jumlah hujan tertinggi selepas lebih 100 tahun.

“Ini bukan hanya maklumat kami di Bolivia, tetapi turut disahkan oleh sumber antarabangsa,” katanya di sini.

Pada Ahad, Presiden Paz mengadakan pertemuan dengan pakar, barisan kabinet serta ahli sains cuaca bagi menilai situasi semasa.

Beliau turut menyatakan penebangan hutan secara meluas sejak dua dekad lalu sebagai faktor yang memburukkan keadaan banjir, dengan Bolivia kehilangan kira-kira 10.4 juta hektar kawasan akibat kebakaran hutan pada 2014; krisis kebakaran terburuk dalam sejarah negara itu. -REUTERS