Austria bakal undi larangan pemakaian tudung di sekolah

VIENNA, 11 Disember – Parlimen Austria pada Khamis dijangka meluluskan undang-undang yang mengharamkan pemakaian tudung di sekolah bagi kanak-kanak perempuan bawah 14 tahun, satu langkah yang dikritik kumpulan hak asasi dan pakar sebagai bersifat diskriminasi serta berpotensi meningkatkan perpecahan dalam masyarakat.

Kerajaan konservatif Austria berdepan tekanan ketika sentimen anti-imigran meningkat, mengemukakan cadangan itu awal tahun ini dengan alasan mahu melindungi kanak-kanak perempuan daripada penindasan.

Pada 2019, ketika larangan tudung di sekolah rendah diperkenalkan, Mahkamah Perlembagaan membatalkannya dan menyifatkannya sebagai tidak berperlembagaan serta bersifat diskriminasi.

Namun, kerajaan kini menegaskan rang undang-undang baharu ini mematuhi perlembagaan.

Jika diluluskan, undang-undang itu akan menghalang pelajar perempuan bawah umur 14 tahun daripada memakai tudung yang mengikut ajaran Islam di semua sekolah.

“Mengatakan seorang kanak-kanak perempuan mesti menutup tubuhnya untuk melindungi diri daripada pandangan lelaki, itu bukan ritual agama tetapi satu penindasan,” kata Menteri Integrasi Claudia Plakolm semasa membentangkan rang undang-undang tersebut.

Larangan itu, yang merangkumi semua bentuk penutup kepala Islam termasuk hijab dan burqa, akan berkuat kuasa sepenuhnya pada permulaan sesi persekolahan baharu September ini.

Mulai Februari, tempoh penerangan akan dijalankan kepada guru, ibu bapa dan pelajar tanpa tindakan penalti.

Bagaimanapun, bagi ketidakpatuhan berulang, ibu bapa boleh dikenakan denda antara 150 hingga 800 euro (US$175–930).

Kerajaan menganggarkan kira-kira 12,000 kanak-kanak perempuan akan terkesan, berdasarkan kajian 2019 yang menunjukkan kira-kira 3,000 murid bawah 14 tahun memakai tudung enam tahun lalu.

Beberapa organisasi hak asasi, termasuk Amnesty International Austria, mengecam rang undang-undang itu.

Amnesty menyifatkannya sebagai diskriminasi nyata terhadap kanak-kanak perempuan Muslim” dan menyemai perkauman anti-Muslim.

“Langkah itu berisiko menyemarakkan lagi stereotaip dan prejudis terhadap umat Islam,” kata kumpulan tersebut,” jelas Amnesty.

IGGOe, badan rasmi yang mewakili komuniti Muslim Austria, turut mengkritik rang undang-undang itu yang menurut mereka menggugat perpaduan sosial kerana bukannya memperkasakan kanak-kanak, mereka distigmakan dan dipinggirkan.-AFP