NEW YORK, 13 Disember – Duta Amerika Syarikat ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Mike Waltz pada Jumaat menuduh Rwanda, yang menyokong kumpulan bersenjata M23 dalam konflik di timur Republik Demokratik Congo (DR Congo), sebagai pihak yang mendorong rantau itu ke ambang peperangan.
“Daripada bergerak ke arah keamanan, seperti yang kita lihat di bawah kepimpinan Presiden Trump dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Rwanda sebaliknya sedang membawa rantau tersebut menuju ketidakstabilan dan ke arah peperangan,” kata Waltz dalam mesyuarat Majlis Keselamatan di sini.
Awal bulan ini, pemimpin Congo dan Rwanda telah menandatangani perjanjian damai di Washington atas usaha Presiden Trump, sekali gus memberi harapan bahawa keamanan mungkin mampu dicapai di rantau yang dilanda konflik lebih tiga dekad itu.
Bagaimanapun, pejuang M23 minggu ini menawan bandar Uvira di Congo, membolehkan kumpulan pemberontak yang disokong Rwanda itu menguasai sempadan darat dengan Burundi dan memutuskan sokongan ketenteraan Kinshasa daripada negara jiran.
“Angkatan pertahanan Rwanda telah menyediakan sokongan kelengkapan, logistik dan latihan kepada M23, selain turut bertempur bersama M23 di DR Congo dengan kira-kira 5,000 hingga 7,000 anggota.
“Dan ini tidak termasuk kemungkinan pertambahan anggota semasa serangan terbaru itu”, ujar Waltz.
M23 melancarkan serangan terbaharu mereka bulan ini di wilayah selatan Kivu berhampiran sempadan Burundi. Kumpulan itu sebelum ini menawan bandar utama Goma dan Bukavu pada Januari dan Februari. – AFP

