AS mansuhkan sekatan terhadap hakim Brazil kendali perbicaraan Bolsonaro

Hakim Mahkamah Agung Brazil, Alexandre de Moraes.-Foto Reuters

WASHINGTON, 13 Disember – Amerika Syarikat (AS) telah memansuhkan sekatan yang dikenakan terhadap Hakim Mahkamah Agung Brazil, Alexandre de Moraes dan isteri, Viviane Barci de Moraes, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) pada Jumaat, memetik sumber rasmi.

Sekatan itu juga ditarik balik terhadap sebuah firma guaman yang menguruskan aset hartanah keluarga berkenaan.

Tiada sebab diberikan serta-merta bagi keputusan yang diumumkan oleh Jabatan Perbendaharaan itu.

Di bawah langkah itu, aset milik individu yang disekat di AS sebelum ini telah dibekukan.De Moraes mengendalikan prosiding jenayah terhadap bekas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro.

Bolsonaro kemudiannya dihukum penjara 27 tahun kerana merancang rampasan kuasa terhadap Presiden Luiz Inácio Lula da Silva selepas kekalahannya dalam pilihan raya 2022.

Presiden AS, Donald Trump, sekutu utama Bolsonaro yang marah dengan keputusan hukuman itu telah bertindak balas.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, pentadbiran beliau mengenakan tarif 50 peratus ke atas pelbagai produk Brazil dan menyekat de Moraes serta individu dalam lingkungan beliau.”Alexandre de Moraes bertanggungjawab bagi kempen penapisan yang menindas, penahanan sewenang-wenangnya, dan pendakwaan bermotif politik – termasuk terhadap bekas Presiden Jair Bolsonaro,” kata Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent pada September lepas.

Anak lelaki Bolsonaro, Ahli Kongres, Eduardo Bolsonaro, meluahkan kekesalan berhubung pemansuhan sekatan itu, lapor portal berita Brazil G1.-BERNAMA