BOGOTÁ, 15 Disember – Sekurang-kurangnya 16 orang maut manakala 20 lagi cedera selepas sebuah bas yang membawa pelajar sekolah jatuh ke dalam gaung di Colombia, pada Ahad.
Gabenor Jabatan Antioquia, Andres Julian Rendon, memaklumkan dalam hantaran di laman X bahawa pelajar terbabit dalam lawatan lapangan dari kawasan Caribbean Colombia ke Medellin.
“Sehingga kini, lebih daripada sedozen orang dilaporkan maut dan 20 cedera. Keseluruhan rangkaian hospital telah diaktifkan untuk memberikan rawatan dan sokongan bagi menghadapi kecemasan ini,” kata Rendon.
Menurut laporan Infobae, bas itu membawa 45 penumpang, termasuk pelajar Tingkatan 5 dari Liceo Antioqueño di Bello. Nahas berlaku pada pukul 5.40 pagi di laluan antara Remedios dan Zaragoza, di kawasan El Chispero, apabila bas terjatuh kira-kira 80 meter ke dalam gaung. Punca kemalangan masih dalam siasatan.
Gambar yang disiarkan media tempatan menunjukkan serpihan bas di dasar gaung serta pasukan penyelamat sedang membawa mangsa dengan pengusung.
Pada 2024, Colombia mencatat purata 22 kematian setiap hari akibat kemalangan jalan raya, menurut pihak berkuasa jalan raya negara itu.-AFP

