13 terbunuh dalam serangan Israel di Beit Jinn

DAMSYIK, 28 November – Kira-kira 13 orang terbunuh dalam serangan subuh oleh tentera Israel di perkampungan Beit Jinn di pinggir Damascus, yang turut mencederakan puluhan penduduk termasuk kanak-kanak, menurut laporan SANA.

Rakaman menunjukkan ambulans tiba membawa mangsa yang cedera parah, sementara ahli keluarga meratapi jasad saudara mereka sebelum penduduk berkumpul menunaikan solat jenazah dan mengiringi mangsa ke tanah perkuburan.

Seorang penduduk, Asaad Qabalan, mendesak kerajaan peralihan Syria memastikan keselamatan mereka.

“Kami rakyat yang aman dan tidak memusuhi sesiapa, termasuk Israel, tetapi kami tidak akan menerima sebarang pencabulan keselamatan di Beit Jinn,” katanya.

SANA melaporkan penduduk cuba menghalang tentera Israel namun dibalas dengan tembakan ketika pesawat Israel berlegar.

Beberapa keluarga melarikan diri ke bandar berhampiran, selain tiga individu ditahan sebelum pasukan Israel berundur.

Sejak Disember 2024, Israel meningkatkan kawalan di selatan Syria serta melancarkan serangan udara dan laut bagi memusnahkan aset tentera Syria. – VIORY