12 maut dalam kebakaran kediaman di Shantou, China

SHANTOU, 10 Disember – Seramai 12 orang maut dalam kebakaran sebuah bangunan kediaman di bandar Shantou, selatan China, lapor agensi berita Xinhua pada Rabu.

Kebakaran itu tercetus pada Selasa sekitar pukul 9.20 malam dan memusnahkan sebuah bangunan empat tingkat sebelum berjaya dipadamkan kira-kira 40 minit kemudian.

Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian.

Video saksi yang disahkan oleh Reuters menunjukkan keadaan api marak ketika petugas bomba berusaha memadamkan kebakaran, sementara beberapa motosikal dilihat memecut melalui kawasan itu dan penduduk memerhati dari jauh.

Reuters mengesahkan lokasi rakaman berdasarkan struktur bangunan, papan tanda perniagaan, tiang utiliti dan susun atur jalan yang sepadan dengan imej arkib.

Tarikh rakaman juga selari dengan laporan rasmi pihak berkuasa.

Dalam kenyataan di Weibo, Jabatan Bomba Shantou memaklumkan bahawa kebakaran di bangunan kediaman di Jalan Danfeng berjaya dipadamkan sekitar pukul 10 malam pada Selasa. -REUTERS