MINNA, 8 Disember – Pihak berkuasa Nigeria berjaya membebaskan 100 pelajar yang diculik dari sebuah sekolah Katolik bulan lalu, menurut sumber PBB dan laporan media tempatan.
Namun, nasib 165 lagi pelajar dan kakitangan yang masih hilang belum diketahui.
Kesemua 100 pelajar yang dibebaskan kini berada di Abuja dan dijangka diserahkan kepada kerajaan negeri Niger pada Isnin, kata sumber PBB.
Media tempatan turut melaporkan pembebasan itu, tetapi tidak menyatakan sama ada ia dilakukan melalui rundingan atau operasi ketenteraan.
Jurucakap presiden, Sunday Dare, mengesahkan berita pembebasan itu. Pihak pentadbiran sekolah berkenaan masih menunggu pengesahan rasmi daripada kerajaan.
Pada akhir November, 315 pelajar dan staf Sekolah Asrama St. Mary di negeri Niger telah diculik.
Kira-kira 50 berjaya melarikan diri, meninggalkan 265 yang dipercayai masih ditawan.
Nigeria kini berdepan banyak insiden penculikan berorientasikan wang tebusan, selain ancaman kumpulan jihad dan kumpulan penjenayah bersenjata.
Pada November sahaja, ramai pelajar, jemaah gereja, wanita dan kanak-kanak diculik di seluruh negara.
Penculikan St. Mary berlaku ketika Amerika Syarikat memberi tekanan terhadap Nigeria, dengan Presiden Donald Trump mendakwa berlaku “pembunuhan besar-besaran” terhadap penganut Kristian dan mengugut untuk campur tangan secara ketenteraan.
Dakwaan berkenaan ditolak oleh kerajaan Nigeria.
Dalam dekad terakhir, penculikan untuk wang tebusan telah menjadi satu “industri” di Nigeria, menjana lebih AS$1.6 juta antara Julai 2024 dan Jun 2025.
Sesetengah penganalisis berkata kumpulan bersenjata mungkin menahan tawanan sebagai perisai manusia sekiranya Amerika Syarikat melancarkan serangan udara. Penganalisis keselamatan juga mengesan pesawat pemantauan AS di kawasan hutan yang menjadi kubu kuat pemberontak di utara Nigeria. -AFP

